KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki tempatan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Facebook membawa padah apabila ditahan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung hantaran tular itu kira-kira pukul 1.30 pagi, Ahad lalu, yang dimuat naik oleh pemilik akaun menggunakan nama ‘Sakti Sakti Sakti’.
Menurutnya, susulan laporan tersebut, sepasukan polis dari Balai Polis Butterworth berjaya menahan suspek lelaki berusia 47 tahun pada pukul 8.32 malam di Butterworth, Pulau Pinang.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo 29T yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 Mac bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atau permusuhan atas alasan agama, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE














