KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun cedera di bahagian hidung selepas ditampar seorang lelaki dalam kejadian sebuah premis di Stesen LRT Pasar Seni di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Menurut beliau, mangsa berada di premis berkenaan seorang diri ketika kejadian, manakala ibu saudaranya menunggu di dalam kereta.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia lingkungan 40-an telah menampar mangsa sekali di bahagian muka sehingga menyebabkan kecederaan pada hidung.
“Suspek dipercayai menuduh mangsa memotong barisan, namun ketika kejadian mangsa adalah pelanggan pertama dan tiada pelanggan lain di kaunter,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami kecederaan jenis soft tissue injury nasal lesion.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Susulan itu, polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














