fbpx
ORANG ramai menyerbu sebuah kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam.

RM500 segram, kedai emas diserbu musim raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Harga emas yang pernah melonjak sehingga RM700 segram pada awal tahun ini ki­ni menjunam ke RM500 se­gram, sekali gus mendorong orang ramai menyerbu kedai barang kemas untuk membeli sebelum harga kembali naik.

Penurunan harga emas sejak beberapa minggu lalu, susulan konflik di Asia Barat, turut dimanfaatkan perantau untuk membeli barang kemas semasa pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Di Ipoh, tinjauan di beberapa ke­dai emas di Little India Ipoh, Ja­lan Lahat mendapati, pre­mis tersebut menjadi tumpuan peng­gemar barang kemas untuk menambah koleksi baharu.

Pengarah Urusan DSA Jewellers, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail berkata, penurunan harga emas kepada RM500 se­gram yang direkodkan kelmarin memberi lonjakan ketara kepada sambutan pelanggan di kedainya.

Katanya, situasi itu berbeza berbanding dua bulan lalu apabila harga bagi satu gram emas mencecah RM700.

“Ketika harga emas naik, perniagaan memang agak perlahan dan tidak ramai pelanggan datang. Sekarang, apabila harga mula turun, kedai kembali dipenuhi pelanggan sehingga kami tidak menang tangan melayan.

“Keadaan ini memberi kele­bihan kepada peniaga kerana aliran tunai dapat digerakkan semula, selain membantu orang ramai membeli emas pada harga mampu milik,” katanya.

PEMINAT emas mengambil peluang membeli barang kemas ketika harganya jatuh di Dhiya Gold, Kota Bharu semalam. – ROHANA MOHD. NAWI

Menurutnya, penurunan harga emas ketika ini patut diambil sebagai peluang untuk orang ramai membeli barang kemas sama ada sebagai koleksi baharu mahupun pelaburan

“Jika harga emas turun lagi, saya rasa tidak turun terlalu banyak, sebaliknya harga emas berpotensi meningkat semula.

“Dengan harga emas sekitar RM500 segram, ia dikira cukup murah dan berbaloi untuk membeli,” katanya.

Di Kota Bharu, tinjauan Kos­mo! di beberapa kedai emas di Pasar Besar Siti Khadijah mendapati, kebanyakan gerai dipenuhi pelanggan yang ingin membeli emas baharu selain menjual emas terpakai.

Seorang peniaga emas di Dhiya Gold, Hidayah Yusoff berkata, premisnya diserbu pelanggan terutamanya perantau bermula Khamis minggu lalu iaitu dua hari sebelum hari raya.

Katanya, harga emas semasa semalam bernilai RM555 segram, sekali gus mencatatkan penurunan ketara apabila nilai jualan pernah melebihi RM620 segram pada awal Februari lalu.

“Lebih 50 pelanggan beratur untuk membeli pelbagai jenis barang kemas. Kebanyakan mereka beli emas baharu kerana harga­nya jatuh ketika ini.

“Tidak sampai seminggu, premis saya sudah jual lebih 100 unit barang kemas pelbagai corak yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit,” katanya kepada Kosmo!.

Dia menjangkakan harga emas akan turun lagi dalam tempoh sehari dua ini kerana trend penurunan sangat ketara sejak konflik di Asia Barat.

Menurutnya, premisnya tidak lagi menjual emas terpakai iaitu RM459 segram kerana harga barang kemas baharu ketika ini dianggap sudah murah.

“Sebenarnya, ramai juga pe­ngunjung datang untuk meninjau harga semasa emas kerana mereka tahu harga akan turun lagi selepas ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN