KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengarahkan pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meningkatkan tahap keselamatan susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Malaysia tidak terancam secara langsung ketika ini, namun tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan perlu dipertingkatkan memandangkan krisis terbabit telah merebak ke semua negara bukan sahaja di rantau Asia Barat.
Malah perkara itu turut menjadi agenda penting semasa mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara semalam dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pagi tadi.
“CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Petronas turut memberikan penjelasan. Ia bukan isu yang mudah, tetapi isu yang berat. Tetapi bagi PDRM, lebih utama ialah kesan keselamatan.
“Dalam keadaan kacau ini, jangan anggap kita terasing. Jadi harus waspada, saya berikan maklumat ini kerana saya juga mendapat penjelasan, pencerahan dari rakan-rakan kita di peringkat antarabangsa.
“Selain daripada badan-badan risikan kita dan percayalah jangan pandang ringan dan enteng soal isu keselamatan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Polis ke-219 di Pulapol hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua pemimpin termasuk PDRM perlu merangka strategi baru untuk memastikan keselamatan rakyat dan negara sentiasa terkawal.
“Mungkin dalam majlis begini terlalu umum (untuk jelaskan isu keselamatan), tidak dapat saya cerahkan (huraikan) secara terperinci.
“Tapi percayalah, banyak kesilapan paling besar negara-negara dunia adalah mereka berasa sangat selesa. Sehingga menyebabkan mereka cuai untuk menjamin keamanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














