PETALING JAYA – Isu melarang penggunaan media sosial dalam kalangan golongan muda berusia 16 tahun menimbulkan satu persoalan samada ia adalah satu larangan yang benar-benar berkesan.
Menurut seorang perunding strategi digital, Jym Tan berkata, larangan secara menyeluruh adalah berisiko kerana ia akan mewujudkan rasa selamat yang palsu tetapi gagal menangani punca sebenar isu ini.
Jelasnya, kanak-kanak secara semula jadi mempunyai rasa ingin tahu dan hari ini mereka semakin beralih kepada media sosial serta platform digital untuk mencari maklumat dan memahami dunia di sekeliling mereka.
“Jadi dengan mengehadkan akses kepada platform arus perdana tidak mungkin akan dapat membendung naluri tersebut; sebaliknya, ia mungkin hanya mendorong mereka ke saluran alternatif sama ada melalui akaun yang dikongsi, aplikasi yang kurang dikenali, atau platform yang berada di luar pemantauan peraturan,” katanya dalam satu kajian yang dibuat dan disiarkan dalam bentuk kenyataan di sini.
Tan menerangkan, dalam usaha menyekat akses, masyarakat kini berisiko menolak aktiviti digital mereka lebih jauh ke dalam bayang-bayang, menjadikannya jauh lebih sukar untuk dibimbing, dipantau atau difahami.

Menurut beliau, apabila terlalu kerap perbincangan mengenai keselamatan dalam talian berlaku maka tertumpulah pula kepada apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan atau platform, sambil mengabaikan apa yang berlaku di rumah.
Sedangkan, perlindungan yang bermakna bermula di rumah dan ibu bapa perlu melangkaui sekadar mengehadkan masa skrin atau melarang aplikasi.
“Mereka mesti terlibat secara aktif dengan anak-anak, memahami apa yang mereka tonton, dengan siapa mereka berinteraksi, dan bagaimana mereka mentafsir apa yang mereka lihat.
“Ini bermakna mengadakan perbualan secara berkala mengenai buli siber, maklumat palsu, pemangsa dalam talian dan jejak digital.
“Ia juga bermakna mewujudkan persekitaran di mana kanak-kanak berasa selamat untuk bersuara apabila sesuatu berlaku, dan bukannya menyembunyikannya,” jelasnya.
Tambah Tan, ibu bapa kini tidak boleh dan tidak seharusnya memikul tanggungjawab ini bersendirian kerana ia juga perlukan peranan daripada pihak sekolah dan para guru.
Sekolah boleh memainkan peranan yang lebih besar dengan melengkapkan pelajar dengan keupayaan untuk mempersoalkan apa yang mereka lihat dalam talian dan guru juga memerlukan sokongan untuk mengenal pasti dan menangani isu seperti buli siber dan tekanan emosi dalam talian.
Selain itu, dalam masa yang sama, platform juga perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar, ini termasuklah perlindungan privasi yang lebih kukuh untuk pengguna muda serta penyederhanaan kandungan yang lebih berkesan dan mengambil kira bahasa serta konteks tempatan.

Keperluan untuk pengguna menyerahkan lebih banyak data peribadi mewujudkan satu lagi lapisan risiko, khususnya ketika insiden siber semakin meningkat di Malaysia, dengan lebih daripada 550,000 akaun tempatan terdedah dalam pelanggaran data pada tahun 2025 sahaja.
“Persoalannya bukan sekadar sama ada kita boleh mengesahkan umur, tetapi sama ada kita boleh melakukannya tanpa mendedahkan pengguna kepada kelemahan baharu.
“Kebimbangan ini bukan unik kepada Malaysia etapi di negara seperti Australia dan United Kingdom, pakar dasar digital serta pejuang keselamatan turut memberi amaran bahawa larangan sukar untuk dikuatkuasakan, manakala mekanisme pengesahan umur berpotensi memperkenalkan risiko privasi tambahan,” ujarnya.
Ini bukan bermaksud kebimbangan terhadap media sosial adalah tidak berasas, kebimbangan tersebut adalah sah. Namun, penyelesaiannya bukanlah dengan menghapuskan akses sepenuhnya.
“Media sosial, apabila digunakan secara bertanggungjawab, boleh menawarkan manfaat yang nyata, daripada kandungan pendidikan dan sokongan rakan sebaya kepada ekspresi kreatif dan kemahiran digital yang penting.
“Matlamatnya, oleh itu, bukanlah untuk melindungi kanak-kanak sepenuhnya daripada dunia digital, tetapi untuk mempersiapkan mereka menghadapinya.
Ini memerlukan pendekatan yang lebih seimbang , satu pendekatan yang menghimpunkan ibu bapa, sekolah, platform dan pembuat dasar.
Setiap pihak mempunyai peranan masing-masing, dan tiada satu pun yang boleh berkesan secara bersendirian,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














