MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Benjamin Sesko tidak gemar dengan gelaran ‘super sub’ kerana percaya dia layak menjadi penggempur utama The Red Devils pada baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Perkara itu didedahkan oleh ejen peribadi Sesko, Elvis Basanovic yang turut tidak bersetuju dengan gelaran tersebut walaupun kebanyakan gol dijaringkan oleh Sesko ketika dimasukkan sebagai pemain gantian.
Menurut Basanovic, Sesko layak dilabel penyerang berkelas antarabangsa dan sepatutnya mendapat minit permainan lebih tinggi bersama United yang kini dibimbing Michael Carrick.
“Jika ditanya mengenai gelaran itu (super sub), saya tidak menyukainya. Saya lebih suka ‘super striker’ (penyerang hebat).
“Saya fikir Sesko adalah penyerang berkualiti dan layak mendapat pengiktirafan sewajarnya. Secara statistik, dia sudah memulakan 13 perlawanan dan juga masuk sebagai pemain gantian dalam 13 perlawanan musim ini.
“Separuh golnya hadir ketika dia bermula dalam kesebelasan utama dan separuh lagi ketika masuk dari bangku simpanan. Angka tersebut menunjukkan dia seorang penyerang serba boleh,” katanya.
Sebagai rekod, Sesko menyertai United dari RB Leipzig dengan nilai perpindahan sekitar £74 juta (RM392 juta) tahun lalu dan berjaya meledak sembilan gol pada kempen EPL musim ini.
Dalam perkembangan sama, United memaklumkan bahawa Sesko sedang menguruskan masalah kecederaan sekali gus disisihkan daripada skuad Slovenia dalam aksi antarabangsa bulan ini. – AGENSI














