fbpx
DR. Ismail meninjau takungan air di Empangan Muda yang menurun berikutan cuaca panas berpanjangan. - Foto FB DATO DR ISMAIL SALLEH

Takungan Empangan Muda tinggal 8.28 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – Takungan air di Empangan Muda kini berada pada paras yang rendah dan membimbangkan apabila hanya merekodkan 10,350 ekar kaki atau sekitar 8.28 peratus setakat hari ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, beliau sendiri turun padang meninjau keadaan semasa empangan tersebut bagi melihat tahap simpanan air serta situasi pengairan ketika ini.

Katanya, keadaan itu perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada bekalan air terutama bagi kegunaan pengairan sawah padi di kawasan Muda.
“Lebih membimbangkan apabila tiada taburan hujan direkodkan di kawasan tadahan, sekali gus memberi kesan langsung kepada bekalan air untuk kegunaan pengairan sawah.

“Situasi ini menyebabkan peladang perlu bersedia untuk melaksanakan kaedah tabur terus kering sekiranya keadaan berlarutan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pelbagai usaha telah dilaksanakan sebelum ini termasuk penganjuran solat sunat istisqa’ serta operasi pembenihan awan, namun masih belum membuahkan hasil.

“Insya-Allah kita akan meneruskan usaha dengan mengadakan sekali lagi solat sunat istisqa’ esok selain membuat permohonan baharu bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan.

“Kita akan terus berusaha dan pada masa sama mengajak semua pihak untuk bersama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan serta diturunkan hujan,” ujarnya.

Kosmo! pada kelmarin melaporkan kedudukan paras air di tiga empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus menurun dengan jumlah takungan hari ini direkodkan pada kadar 484,725 ekar kaki atau 39.63 peratus.

Menurut data di laman web rasmi MADA, Empangan Muda mencatatkan jumlah takungan paling rendah iaitu 10,550 ekar kaki (8.44 peratus), Empangan Pedu 352,480 ekar kaki (40.28 peratus), manakala Empangan Ahning 121,695 ekar kaki (54.57 peratus). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN