PETALING JAYA – Seramai 3,826 warga asing diperiksa dalam 45 operasi pemeriksaan dan pemantauan (Ops Pantau) yang dilaksanakan Jabatan Imigresen (JIM) di seluruh negara bagi tempoh 20 Mac sehingga semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penguatkuasaan dijalankan secara berterusan termasuk ketika musim perayaan dengan pendekatan terancang dan berhemah.
“Setiap pemeriksaan dilaksanakan secara terkawal, profesional dan berintegriti bagi mengurangkan kegusaran serta ketidakselesaan masyarakat setempat, khususnya di lokasi tumpuan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi tertumpu di lokasi dikenal pasti bagi memastikan setiap individu memiliki dokumen perjalanan serta status yang sah.
Katanya, pegawai penguat kuasa turut diingatkan agar sentiasa mematuhi disiplin serta prosedur operasi standard, di samping menghormati sensitiviti budaya dan norma setempat.
Beliau berkata, penguatkuasaan imigresen tidak terikat dengan musim tertentu kerana pelanggaran undang-undang boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Setiap tindakan dilaksanakan berdasarkan risikan dan keperluan semasa, selaras dengan prinsip profesionalisme, integriti dan tanggungjawab dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














