SEBERANG PERAI – Ibu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula gummy eyeball pada 20 Februari tahun lalu tetap menyediakan pakaian raya baharu walaupun anaknya sudah pergi buat selama-lamanya.
Nuraini Mohamad Isa, 38, berkata, biarpun Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin sudah tiada, namun hingga saat ini dia masih tidak dapat melupakan wajah kanak-kanak itu.
“Setiap kali teringatkan arwah saya akan ke kubur tidak kira pagi atau petang. Boleh dikatakan setiap hari. Rindu makin mendalam lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Ini kali kedua kami beraya tanpa Fahmi, namun saya tetapkan membelikannya baju kurta berwarna kelabu gelap sedondon dengan ayahnya. Sekurang-kurangnya kami tiga beranak dapat mengubat rindu terhadap arwah.
“Aidilfitri kali ini saya buatkan makanan kegemarannya, kuih siput. Bukan tidak reda, tetapi kami terlalu rindu kerana arwah meninggal dunia secara mengejut,” katanya ketika ditemui.
Cerita Nuraini, dia pernah bermimpi didatangi arwah anaknya yang memakai baju Melayu dan berserban putih kira-kira tujuh bulan lalu.
“Dia panggil saya dengan nada lembut dan peluk sambil berkata ‘Ibu jom ikut Fahmi’. Saya beritahu saya tidak dapat ikut kerana ada adik dan baba. Dia cakap tidak mengapa dan mahu pergi dulu. Saya tahu ia mainan tidur, mungkin saya terlalu rindukan Fahmi,” katanya sebak.
Dalam kejadian pada 20 Februari 2025, Mohammad Fahmi meninggal dunia selepas bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Pulau Pinang.
Kejadian dipercayai berlaku apabila murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth itu membeli dua biji gula-gula kenyal sebelum sesi Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermula.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa dikatakan tercekik gula-gula itu dan mengalami kesukaran bernafas. Malah, arwah sempat berjalan ke arah guru sebelum rebah secara tiba-tiba.














