GEORGE TOWN – Kesesakan jalan raya serta ditambah lagi dengan fenomena cuaca panas ekstrem pada siang hari yang melanda beberapa negeri di Semenanjung ketika ini membuatkan orang ramai menukar trend ziarah serta rumah terbuka ke waktu malam.
Rata-rata orang ramai yang ditemui Kosmo! memberitahu mereka tiada pilihan lain dan terpaksa menjemput tetamu terutama sanak-saudara dan sahabat handai ke rumah pada waktu malam selain melanjutkan masa bertandang sehingga lewat pagi.
Berbanding tahun-tahun sebelum ini, budaya rumah terbuka dan sesi berkunjung ke rumah sanak-saudara kebiasaannya berlaku di siang hari, seawal pukul 9 pagi hingga hampir tenggelam fajar.
Seorang pekerja swasta, Imran Hilmy Tawfik Hilmy, 48, berkata, dia lebih selesa berkunjung ke rumah saudara dan rakan taulan pada waktu malam kerana keadaan cuaca yang sejuk berbanding di siang hari.
“Cuaca panas telah memberi kesan terhadap amalan berkunjung dan perubahan gaya hidup terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini.
“Saya lebih selesa berkunjung pada sebelah malam selain tidak sanggup berdepan kesesakan jalan raya pada siang hari, dalam keadaan cuaca yang sangat panas.
“Malah, waktu siang juga kurang selesa untuk mengenakan baju raya terutama yang berkain tebal atau berlapis selain perlu bergerak dari rumah ke rumah,” katanya di sini semalam.
Menurut Dewi Nur Harasha Alias, 46, pula keadaan jalan raya di taman perumahan keluarganya di Changlun, Kedah kelihatan lenggang pada waktu siang berbanding waktu malam.
“Malam lebih sejuk dan berangin. Jadi kami sekeluarga sarankan saudara mara keluar berkunjung selepas pukul 8 malam.
“Buat mereka yang ada anak kecil, malam adalah waktu paling sesuai untuk mereka bermain bunga api dan berlari di pekarangan luar rumah. Golongan dewasa pula lebih suka merakam gambar serta momen raya keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Affiq Mohd. 35, pula berkata, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan memaksa mereka sekeluarga berkumpul di dalam rumah.
“Tiada sesi menjamu selera di luar rumah pada siang hari berbanding sebelum ini, tuan rumah atau tetamu lebih suka makan di tempat terbuka, terutama di koridor luar atau di garaj kereta.
“Untuk tetamu, jangan risau, kami (tuan rumah) ada sahaja di dalam rumah cuma terpaksa menutup pintu sebab bahang panas dari luar,” ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dengan satu kematian melibatkan seorang kanak-kanak dilaporkan tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, orang ramai diingatkan supaya mengawasi tanda-tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga yang luar biasa dan suhu badan yang semakin meningkat. -KOSMO! ONLINE














