PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari mengakui gembira dapat menamatkan penantian dua tahun untuk kembali diserap dalam skuad Harimau Malaya selepas bergelut dengan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sebelum ini.
Sebagai rekod, Syahmi yang juga bekas pemain pertahanan Selangor FC itu terpaksa disisihkan sejak musim 2024/25 akibat kecederaan serius ketika menentang Penang FC sebelum membuat kemunculan semula pada November tahun lalu.
Syahmi yang berusia 28 tahun kembali berada pada prestasi terbaik bersama skuad Harimau Selatan sekali gus memikat hati ketua jurulatih, Peter Cklamovski untuk diserapkan dalam pasukan pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Selasa depan.
“Memang rasa bersyukur dan rezeki saya lah dapat kembali bersama skuad kebangsaan selepas lebih daripada dua tahun.
“Ini waktu dan peluang terbaik buat saya.” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand semalam.
Kali terakhir Syahmi menyertai kem Harimau Malaya adalah pada Januari 2024 sewaktu kempen Piala Asia 2023 di bawah bimbingan Kim Pan-gon.
Syahmi antara dua muka baharu yang dipanggil Cklamovski selain Feroz Baharudin untuk menguatkan benteng skuad negara dalam misi mengakhiri kempen kelayakan dengan nada positif.
Skuad Harimau Malaya ketika ini sudah selamat tiba di Bangkok yang dianggap sebagai medan ‘asah taring’ sehingga 27 Mac kerana dianggap lokasi cukup ideal untuk persiapan menentang negara yang menduduki ranking ke-103 dunia itu.














