Malaysia, New Zealand terus perkukuh hubungan dua hala
PETALING JAYA – Malaysia dan New Zealand menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga.
Beliau berkata, perkara itu disampaikan semasa perbualan telefon dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
“Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global.
“Saya menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran, serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan melalui saluran diplomasi.
“Kami turut menyentuh kesan konflik terhadap sektor tenaga New Zealand, termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik.
“Saya menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu,” katanya.- KOSMO! ONLINE














