DUNGUN – Anak sulung Allahyarham Nurul Hafizah Shaary, Nur Raesha Amanda Mohamad Redzuan, 14, yang cedera parah pada bahagian rusuk dipindahkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.
Bapa saudaranya, Mohd Saddam Shaary, 33, berkata, adik Nur Raesha Amanda, Nur Rakhis Aral Yn, 9, yang cedera tangan kanannya pula bakal dibenarkan keluar wad Hospital Dungun hari ini.
“Alhamdulillah, keadaan kedua-dua anak saudara saya itu semakin stabil. Adik (Nur Rakhis Aral Yn) sudah boleh keluar wad. Kakak (Nur Raesha Amanda) pula akan dipindah ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Nurul Hafizah, 39, serta dua anaknya, Muhammad Redzuan Arash, 13, dan Nur Radya Athalia, 4, maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Aruz dipandu wanita itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau di sini. – KOSMO! ONLINE














