GUA MUSANG – Keadaan trafik di pintu masuk sempadan Pahang-Kelantan di daerah ini masih sesak susulan kenderaan bertali arus memasuki laluan berkenaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri esok.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, aliran trafik masih perlahan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis iaitu di kawasan sempadan Merapoh, Pahang dan Kampung Mentara di sini dengan kesesakan mencecah sehingga 20 kilometer.
Katanya, situasi itu kerana pertambahan jumlah kenderaan perantau pada saat-saat akhir untuk ke kampung halaman masing-masing.
“Pihak polis akan terus menjalankan pemantauan rapi serta penyuraian trafik secara berkala bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran kenderaan lebih terkawal. Kenderaan perantau masih lagi bertali arus memasuki laluan bandar Gua Musang dan kita jangkakan keadaan itu berterusan sehingga malam ini,” katanya.
Seorang perantau, Siti Noraini Ghazali, 37, berkata, dia menjangkakan perjalanan kali ini lebih lancar kerana pulang pada saat akhir, namun sebaliknya apabila terpaksa berdepan kesesakan di pintu sempadan Pahang menuju ke Kelantan.
Katanya, masalah kesesakan di kawasan itu perlu dihadapi oleh perantau setiap tahun musim perayaan.
“Kesesakan jalan yang berlaku menyebabkan ada pengguna terpaksa berhenti di tepi jalan kerana kenderaan mengalami masalah dan ingin menghilangkan penat. Perjalanan untuk pulang ke kampung di Kuala Krai kali ini memenatkan ditambah pula keadaan cuaca panas dan kurang hujan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














