SEREMBAN – Mubarak Thahak telah dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa telah melanggar hukum syarak dan adat berdasarkan pengumuman oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim.
Pengumuman itu selepas mendapat persetujuan dan keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat diadakan pada 1 April 2025 di Telaga Undang Sungai Ujong.
“Semua kesalahan yang dilakukan turut dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Maka berkuat kuasa 1 April, segala keputusan, arahan dan tindakan yang dibuat oleh Mubarak atas kapasiti sebagai Datuk Klanan Petra Undang Sungei Ujong adalah dianggap tidak sah,” katanya.
Ujar kenyataan itu lagu, perkara pemberhentian itu juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaku Pengerusi Dewan Keadilan dan Undang pada Jun 2025.
“Justeru segala hal ehwal adat kini terletak di bawah bidang kuasa Waris di-Darat Waris Negeri Sungei Ujong bertempat di Telaga Undang Batu 9 Pantai.
Mengikut hukum adat patah tumbuh dan waris berundang diamalkan di Luak Sungei Ujong, ganti penyandang pesaka Datuk Klana Petra akan diputuskan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pihak waris turut menegaskan bahawa hanya waris yang sah mempunyai hak dalam menentukan pengganti jawatan tersebut, dan tiada campur tangan pihak luar dibenarkan.- KOSMO! ONLINE














