GUA MUSANG – Suasana di beberapa pasar raya sekitar daerah ini sesak apabila orang ramai menyerbu premis berkenaan untuk membeli barangan kelengkapan berikutan bimbang sekiranya sambutan Hari Raya Aidilfitri diumumkan esok.
Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai mula membanjiri pasar raya seawal pagi bagi membeli barangan keperluan termasuk bahan mentah, kuih-muih dan kelengkapan rumah.
Seorang pengunjung, Nor Azura Mat, 34, berkata, dia mengambil peluang membeli lebih awal bagi mengelak kesesakan yang lebih teruk pada saat akhir, namun terkejut apabila bekalan ayam sudah kehabisan di beberapa pasar raya menjelang tengah hari ini.
“Orang ramai berpusu-pusu membuat persiapan raya dan mencari barangan makanan untuk juadah hari raya. Pasar raya memang sesak sejak pagi, nak bergerak pun susah dan barangan tertentu cepat habis terutama ayam dan bahan mentah lain,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Siti Aisyah Jamali, 29, berkata, dia mengambil keputusan membeli barangan keperluan lebih awal kerana bimbang sambutan Hari Raya Aidilfitri diumumkan lebih awal.
Katanya, dia tidak mahu berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah saat akhir memandangkan kebanyakan orang akan berpusu-pusu ke pasar raya sekiranya esok diisytiharkan sebagai hari raya. – KOSMO! ONLINE














