fbpx
Abu Bakar menunjukkan koleksi kad raya yang disimpan ketika ditemui di kedai SK Abdul Rahman di Pusat Perdagangan Pontian, baru-baru ini.

Gen Y tak kenal kad raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Suatu ketika dahulu, kad raya dianggap sebagai pengganti diri bagi menyampaikan ucapan Selamat Hari Aidilfitri kepada keluarga, sahabat handai dan insan tersayang.

Namun, kini tradisi itu sema­kin dilupakan apabila orang ramai beralih kepada ucapan digital menerusi telefon pintar dan media sosial.

Pemilik Kedai Buku SK Abdul Rahman, Abu Bakar Abdul Rahman, 78, berkata, perubahan teknologi itu menyebabkan permintaan terhadap kad raya fizikal merosot secara mendadak sejak lebih sedekad lalu.

Katanya, pada era 1960-an hingga awal tahun 2000, kad raya menjadi medium utama untuk orang ramai menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada insan tersayang.

“Setiap tahun kira-kira 10 syarikat percetakan akan menghantar pelbagai jenis kad raya ke kedai saya sebulan sebelum Ramadan dengan pelbagai corak, reka bentuk dan saiz yang menarik.

“Ketika itu ramai pelanggan membeli kad raya untuk dihantar kepada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan, malah kekasih sebagai tanda ingatan menjelang Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Abu Bakar, kad raya dijual pada harga RM1 hingga RM15 sekeping bergantung kepada reka bentuk dan saiz, termasuk kad istimewa yang mempunyai bau wangi atau boleh mengeluarkan suara.

Katanya, terdapat kad bersaiz gergasi yang dijual pada harga lebih tinggi, manakala kad bersaiz kecil biasanya menjadi pilihan murid sekolah untuk dihantar kepada rakan-rakan.

“Malah, ada juga kad khas untuk ketua jabatan atau individu tertentu yang mempunyai reka bentuk lebih formal,” katanya.

Tambahnya, kedainya mampu menjual lebih 6,000 keping kad raya sepanjang Ramadan satu ketika dahulu sekali gus memberikan pendapatan tambahan kepada perniagaan keluarga itu.

Namun katanya, semuanya kini tinggal kenangan apabila orang ramai lebih gemar menggunakan kad ucapan digital yang boleh dihantar dengan pantas melalui mesej dan media sosial.

“Dengan menggunakan kad digital, mereka boleh letak gambar sendiri, animasi dan sampai kepada penerima dalam masa beberapa saat sahaja,” katanya.Abu Bakar berkata, kedainya yang berusia 94 tahun kini tidak lagi menerima bekalan kad raya dan kebanyakan pelanggan yang datang pula mencari kurma, kismis, madu dan barangan lain.

“Walaupun begitu, masih ada generasi lama yang bertanyakan tentang kad raya kerana mereka masih mahu menghantar ucapan kepada sahabat atau saudara mara,” katanya.

Katanya, meskipun tradisi menghantar kad raya semakin pudar, kenangan menerima sekeping kad raya yang dihantar melalui pos tetap mempunyai nilai sentimental yang sukar digantikan teknologi moden.

Kedai buku SK Abdul Rahman beroperasi di Jalan Alsagoff selama 48 tahun sebelum terbakar dan berpindah ke Jalan Taib. Premis itu kini beroperasi di Pusat Perdagangan Pontian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN