KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil 14 lagi individu untuk diambil keterangan berhubung siasatan terhadap dakwaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pada masa ini, PDRM masih mengkaji dan menjalankan siasatan-siasatan lain berkait perkara berkenaan.
“Ya saya telah dimaklumkam oleh pihak CID (Jabatan Siasatan Jenayah), kita telah mengambil 14 keterangan. Ada beberapa individu lagilah yang mungkin kita akan ambil kenyataan.
“Dari situ baru kita akan buat kesimpulan dan kita akan kemukakan kepada pihak Peguam Negara (AG). Saya difahamkan ada lebih kurang 14 orang lagi akan diambil keterangan mereka dan insya-Allah jika semua selesai, akan simpulkan dan bawa ke AG,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyentuh nama-nama individu terlibat yang akan diambil keterangan berkenaan.
“Semua dalam senarai kita ada, saya tak mahu menyentuh tentang mana-mana individu. Siasatan masih lagi berjalan. Biar kita buat, insya-Allah bila selesai, kita akan panggil sidang akhbar berikutnya,” katanya.
Pada 5 Mac lalu, Mohd. Khalid dilaporkan berkata, polis telah mengambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, polus juga telah mengenal pasti beberapa nama dan sedang berusaha mendapatkan kenyataan daripada mereka yang berkaitan serta meneliti kemungkinan penglibatan pihak luar negara bergantung kepada perkembangan siasatan seterusnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka. – KOSMO! ONLINE














