KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara menyambut baik keputusan undian Piala Thomas 2026 yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama gergasi Asia, Jepun serta dua wakil Eropah, England dan Finland.
Berdasarkan undian tersebut, skuad lelaki negara dilihat mempunyai laluan yang seimbang dalam usaha mereka menamatkan kemarau 34 tahun menjulang trofi berprestij itu pada kejohanan yang akan berlangsung di Horsens, Denmark, bermula 24 April depan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan undian tersebut sebagai satu perkembangan positif yang membolehkan barisan kejurulatihan merangka program latihan dengan lebih khusus.
“Keputusan undian nampak baik dan ini membolehkan pasukan memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan di sini (Malaysia) dan kemudiannya apabila tiba di Denmark nanti,” kata Rexy ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Senada dengan itu, jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi turut memberikan reaksi positif terhadap kedudukan pasukan negara yang diletakkan dalam kumpulan tersebut.
“Bagi saya, kedudukan dalam Kumpulan B ini sudah cukup baik,” ujar ringkas mengenai peluang skuad negara di kejohanan berprestij itu.
Meskipun di atas kertas Malaysia dijangka mampu melangkah ke peringkat suku akhir, cabaran utama pastinya hadir daripada skuad ‘Matahari Terbit’ yang juga merupakan juara 2014.
Jepun memiliki skuad yang cukup seimbang dalam kedua-dua kategori perseorangan dan beregu terbaik mereka seperti bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang juga kini menduduki ranking No. 8 dunia.
Bagaimanapun, Malaysia memiliki barisan terbaik untuk mengekang pemain Jepun itu menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik (No. 2) atau Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No. 6).
Selain itu, Malaysia perlu berwaspada dengan ancaman England, terutamanya pasangan Ben Lane-Sean Vendy yang sebelum ini sering menyukarkan gandingan negara.
Tumpuan juga pastinya terarah kepada barisan perseorangan negara yang diketuai Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Lee Zii Jia untuk mempamerkan aksi terbaik bagi membantu skuad negara membawa pulang piala berprestij itu ke tanah air.
Sementara itu, bagi saingan Piala Uber, skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B bersama juara enam kali, Jepun, Turkiye serta Afrika Selatan.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir merangkul Piala Thomas pada edisi 1992 di Kuala Lumpur, manakala pada edisi lalu di China, skuad negara berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir. -KOSMO! ONLINE














