HANYA masa yang akan menentukan peluang dua bintang Liga Malaysia (Liga M), Bergson dan Silva dan Giancarlo Gallifuoco untuk disenaraikan sebagai pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya.
Jika segala proses dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, ia pastinya akan memberi nilai tambah atau pun motivasi buat pasukan untuk menutup pusingan kelayakan dengan kemenangan selepas kini sah tidak layak ke Piala Asia 2027.
Ketika ditanya mengenai status terkini dua pemain berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd sebelum ini mendedahkan maklumat yang dimiliki pihaknya masih menunjukkan dua pemain itu berstatus import.
“Setakat sekarang masih berstatus pemain asing,” katanya ketika ditanya pada satu majlis berbuka puasa bersama media, minggu lalu.
Dalam laporan media tempatan sebelum ini, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menganggap khabar kemunculan dua pemain itu dalam skuad Harimau Malaya sesuatu yang menarik dan urusan mendapatkan passport Malaysia dilapor semakin hampir dimuktamadkan.
Walaupun kedua-duanya sudah pun melepasi usia 30 tahun, kehadiran Bergson dan Gallifuoco sedikit sebanyak mampu menambah kualiti pasukan di posisi serangan serta pertahanan.
Sebelum ini, Malaysia dipalit dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kehadiran Bergson dan Gallifuoco dalam skuad negara menjelang pertemuan menentang Vietnam biarpun dianggap sebagai pelengkap jadual, namun ia mampu memberi variasi buat Cklamovski.
Biarpun sudah tidak memberi apa-apa makna, para peminat pastinya masih mengharapkan kemenangan mampu diraih Harimau Malaya ke atas musuh utama itu.














