LONDON – Penganalisis bola sepak England, Richard Keys percaya tiga pengurus pasukan bakal meninggalkan pasukan masing-masing pada hujung musim nanti tanpa mengira apa yang akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Beliau percaya, Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, pengendali Liverpool, Arne Slot dan bos Chelsea yang baru dilantik, Liam Rosenior tidak akan kekal mengendalikan pasukan masing-masing untuk musim depan.
Menurutnya, Slot ketika ini berdepan tekanan hebat di Anfield apabila bergelut untuk memastikan pasukan itu mara ke Liga Juara-Juara musim depan dan berbaki kontrak 12 bulan mungkin menyebabkan beliau akan di pecat.
“Situasi di Liverpool tidak berubah, begitu juga di Etihad. Saya fikir kedua-dua kelab sudah mula memikirkan peluang dan potensi mendapatkan pengendali baharu,” katanya.
Tambahnya, beliau juga gagal untuk yakin mengenai kemampuan Rosenior yang menggantikan Enzo Maresca untuk memacu Chelsea kembali meraih kegemilangan.
Chelsea berdepan kekalahan kepada Newcastle United sekali gus menyukarkan mereka untuk mengakhiri saingan di kelompok lima terbaik, malah hanya satu kemenangan diraih dalam lima aksi terakhir menyebabkan keyakinan terhadap Rosenior terhakis.
“Rosenior pastinya sudah merasai tekanan ketika ini walaupun beliau seorang pengurus yang memiliki keyakinan,” jelasnya. – AGENSI














