fbpx
JOJO merancang untuk membina gimnasium yang memiliki fasiliti lengkap serta jurulatih terbaik untuk melahirkan lebih ramai petarung negara bertaraf dunia.

Jojo tekad bina ‘kilang’ petarung berkelas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAGUH Muay Thai sensasi negara, Johan Ghazali atau Jojo memasang impian besar untuk membuka gimnasium sendiri di tanah air tahun ini dalam misi melahirkan lebih ramai petarung bertaraf dunia.

Keputusan itu diambil bagi menamatkan trend atlet elit tempatan yang terpaksa ‘berkampung’ di Thailand semata-mata untuk mendapatkan kualiti latihan terbaik.

“Sekarang semua ‘fighter’ bagus dari Malaysia pergi jalani latihan di luar negara terutama di Bangkok. Kenapa jadi macam itu? Sebab jurulatih dekat sini masih belum cukup kuat.

“Ada yang baru lawan sekali dua dah buka gim sendiri, itu tak cukup untuk lahirkan petarung Muay Thai kelas dunia,” katanya kepada Kosmo! sewaktu ditemui semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Duta Jenama Blanco Fragrance baru-baru ini.

Bintang ONE Championship itu menegaskan, gim yang dirancang itu bukan sekadar premis perniagaan, sebaliknya bakal menjadi nadi pembangunan bakat secara menyeluruh.

“Jojo nak buat fasiliti lengkap dengan jurulatih yang betul. Bila sistem itu ada, kita tak perlu lagi hantar atlet kita ini keluar negara. Kita boleh hasilkan juara dunia dari Malaysia sendiri,” katanya lagi.

Jojo mengakui sedia bergerak secara persendirian sekiranya tidak mendapat sokongan mana-mana pihak demi memartabatkan sukan berkenaan.

“Kalau ada sokongan kerajaan, Alhamdulillah. Tapi kalau tak ada pun, Jojo boleh buat secara ‘private’. Apa yang penting kita nak naikkan Muay Thai Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Jojo mengesahkan bakal kembali ke gelanggang dalam masa terdekat selepas Aidilfitri ini menentang lawan yang disifatkan antara paling mencabar dalam kariernya.

“Lawan itu sangat bagus, mungkin antara paling susah setakat ini. Jojo hanya fokus buat persiapan terbaik dan tawakal. Mengenai individu tersebut nanti akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN