RABAT – Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) mencetuskan kontroversi apabila melucutkan kemenangan Senegal pada saingan Piala Negara-Negara Afrika yang berakhir Januari lalu dan memberikan kemenangan kepada Maghribi.
Pada perlawanan tersebut, sebahagian besar pemain Senegal meninggalkan padang pada masa kecederaan kerana memprotes keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Maghribi.
Bagaimanapun, selepas hampir 14 minit perlawanan tertangguh, mereka kembali ke padang dan sepakan penalti berkenaan gagal disempurnakan Brahim Diaz sebelum Pape Gueye muncul wira Senegal meledak gol kemenangan.
Menurut CAF, selepas mengkaji rayuan yang dikemukakan oleh Maghribi, pihaknya mendapati tindakan meninggalkan padang oleh pemain-pemain Senegal itu dianggap sebagai menarik diri dan pasukan lawan dianugerahkan kemenangan 3-0.
Persekutuan Bola Sepak Di Raja Maghribi (FRMF) dalam satu kenyataan mengakui rayuan yang dikemukakan bukan untuk mempersoal semangat pasukan yang bertanding sebaliknya untuk memastikan semua peraturan pertandingan dipatuhi.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino sebelum ini menyelar tindakan yang dilakukan oleh pemain Senegal dan menganggap tindakan berkenaan sebagai sukar diterima.
“Tindakan meninggalkan padang ketika permainan berlangsung tidak boleh diterima dan sebarang salah laku tidak ada toleransi. Sejujurnya ia bukan perkara yang betul,” katanya.
Setakat ini, Persekutuan Bola Sepak Senegal masih belum memberikan sebarang reaksi mengenai keputusan CAF kecuali beberapa pemain kebangsaan negara itu yang rata-rata menganggap pengumuman itu sebagai tidak masuk akal.
Senegal kini memiliki tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencabar keputusan berkenaan atau memilih menerima keputusan berkenaan. – AGENSI














