fbpx
Kor Ming ketika merasmikan program pengasingan dan kitar semula kotak minuman untuk pusat beli-belah di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI

Sejuta kotak minuman disasar dikitar semula di pusat beli-belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sebanyak 1 juta kotak makanan dan minuman disasarkan untuk dikutip serta dikitar semula menerusi pelaksanaan inisiatif di pusat beli-belah seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek perintis dilaksanakan di Aeon Mall Stesen 18, Ipoh sebelum ini berjaya mengutip hampir 500 kilogram bahan kitar semula, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif berkenaan.

Malah katanya, sebanyak 27 buah AEON Mall seluruh negara akan menawarkan kemudahan tersebut sebagai langkah memperluas budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.

“Satu kilogram bersamaan kira-kira 63 kotak minuman. Kita sasarkan 1 juta kotak makanan dan minuman akan dapat dikutip serta dikitar semula.

“Ini adalah satu permulaan selain meningkatkan kempen kesedaran kepada orang ramai,” katanya selepas merasmikan program pengasingan dan kitar semula kotak minuman untuk pusat beli-belah di sini, hari ini.

Tambah beliau, usaha tersebut selari dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus menjadi keutamaan negara.

“Kelestarian bukan sekadar slogan, tetapi teras kepada Kerajaan Madani. Usaha seperti ini akan kita perhebatkan supaya diperluaskan ke semua pusat beli-belah di seluruh negara.

“Majlis Ekonomi Kitaran Negara pada Oktober tahun lalu telah memutuskan supaya semua pasar raya menyediakan kemudahan kitar semula bagi memudahkan orang ramai mempunyai akses kepada kemudahan kitar semula yang sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Malaysia menghasilkan 40,000 metrik tan sisa pepejal setiap hari ini.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 12,000 metrik tan adalah melibatkan sisa makanan. Bayangkan ada negara lain yang mati kelaparan namun di negara kita, makanan dibuang begitu sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI