BANGKOK – Seorang warga emas maut selepas diserang seekor gajah liar di Nakhon Nayok kelmarin, selepas dia terserempak haiwan itu semasa membuang air kecil di belakang rumahnya, lapor laman berita Thaiger.
Anggota penyelamat tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi (waktu tempatan) dan menemui mangsa yang dikenal pasti sebagai lelaki berusia 87 tahun, Heng Sae-Roo. Dia cedera parah selepas dipijak gajah tersebut.
Mangsa diberi pertolongan cemas di tempat kejadian dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Penduduk kampung berkata, mangsa bangun daripada tidur dan keluar untuk membuang air kecil di belakang rumahnya sejurus sebelum kejadian itu.
Dia dilaporkan terserempak seekor gajah liar yang sesat dari Taman Negara Khao Yai semasa mencari makanan di ladang nanas berdekatan.
Gajah itu dilaporkan terkejut melihat lelaki itu lalu menyerangnya, menyebabkan mangsa cedera parah.
Pegawai hidupan liar mendorong gajah itu kembali ke kawasan hutan dalam Taman Negara Khao Yai untuk mengelakkan bahaya selanjutnya kepada penduduk lain. – AGENSI














