BEIJING – Seekor panda di China menjadi perhatian pengguna media sosial apabila khusyuk bermain dengan telefon bimbit milik seorang pengunjung zoo yang terjatuh ke dalam kandangnya, lapor portal berita South China Morning Post.
Kejadian berlaku pada 22 Februari lalu apabila telefon bimbit seorang pengunjung Dujiangyan Panda Base di wilayah Sichuan itu tercicir di dalam kandang.
Panda gergasi bernama Qingling itu dengan segera mengambil peranti tersebut lalu bermain dengannya.
Dalam satu posisi, panda itu kelihatan seperti merakam swafoto dirinya sendiri, dengan memegang telefon bimbit itu di bahagian atas.
Menggunakan lobak sebagai umpan, kakitangan zoo cuba merampas telefon bimbit itu daripada tangan Qingling menggunakan pemegang sambungan tetapi gagal.
Qingling berjaya menikmati makanan tambahan tanpa melepaskan telefon tersebut.
Akhirnya, kakitangan mengambil semula telefon bimbit tersebut selepas panda itu hilang minat terhadapnya.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen pengguna media sosial.
“Nampaknya panda itu sudah ketagih dengan telefon pintar seperti kita,” kata seorang netizen. – AGENSI














