KOTA KINABALU – Sebanyak 85 rumah haram dirobohkan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam Operasi Bersepadu ‘Op Roboh’ berhampiran Kampung Cenderakasih, Kolombong dalam operasi bermula 17 Februari sehingga kelmarin.
Pengarah Penguatkuasa DBKK Abdul Mukti Muchlish berkata, operasi dijalankan di sebuah kawasan penempatan haram yang dihuni majoriti warga asing.
Menurutnya, DBKK sering menerima aduan dari penduduk berhampiran berkaitan masalah jenayah dan sosial seperti kes curi elektrik, curi air, syabu, judi dan masalah sosial yang lain di kawasan penempatan haram terbabit.
“Op Roboh dilaksanakan DBKK dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah Elektricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Seramai 27 anggota terdiri daripada 15 penguat kuasa DBKK, PDRM, SESB, dan JANS terbabit dalam operasi yang berjalan selama dua hari itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Mukti menyatakan DBKK juga mengenalpasti beberapa penempatan haram yang lain dan tindakan lanjut akan diambil.-K! ONLINE