SETIU – Perjalanan pulang dua tentera untuk bercuti raya bertukar tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Buluh, di sini hari ini.
Dalam nahas pukul 12.05 tengah hari itu, mangsa Muhammad Aminuddin Amran, 21, dan Mohamad Shakiran Saidi, 36, meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa yang berkhidmat di Kem Tebrau, Johor dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing di Pulai Chondong, Machang dan Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Honda Civic dipandu Muhammad Aminuddin dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dipandu lelaki berusia 38 tahun.
“Impak pelanggaran menyebabkan treler terbabit mengelongsor ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan kereta Proton Saga dan merempuh kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza yang diletakkan dalam garaj di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Mayat Muhammad Aminuddin dan Mohamad Shakiran dihantar ke Hospital Setiu. Pemandu dan penumpang Proton Saga yang cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama. – KOSMO! ONLINE














