LIVERPOOL – Masa depan pengurus Liverpool, Arne Slot dianggap ‘bagai telur di hujung tanduk’ selepas sekadar seri 1-1 menentang pasukan bergelut, Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.
Walaupun menjaringkan gol pembukaan menerusi Dominik Szoboszlai pada minit ke-18, namun The Reds gagal untuk menambah jaringan sebelum Spurs menyamakan kedudukan hasil jaringan Richarlison di hujung permainan.
Keputusan itu nyata mengecewakan penyokong-penyokong tuan rumah yang kemudiannya bertindak mencemuh serta mengkritik barisan pemain Liverpool sebaik sahaja pengadil perlawanan meniup wisel penamat.
“Bagi saya, itu (cemuhan) merupakan satu perkara biasa dalam bola sepak. Sekiranya pasukan kesayangan anda tercicir banyak mata dan menampilkan aksi tidak seperti dijangka, sudah tentu anda akan kecewa.
“Kekecewaan ini bukan sahaja dirasai oleh penyokong, malah saya dan pemain juga sangat kecewa dengan keputusan. Oleh itu, saya tidak kisah dan menerima cemuhan daripada penyokong,” kata Slot.
Sementara itu, Szoboszlai pula menggesa rakan sepasukan supaya mempamerkan kebangkitan menjelang perlawanan akan datang atau berdepan kemungkinan beraksi dalam saingan Liga Konferens Europa musim depan.
“Saya tidak mendengar cemuhan itu tetapi saya faham kerana kami merupakan juara musim lalu dan gagal untuk bermain seperti diharapkan. Selain itu, saya harap penyokong akan terus bersama kami dalam semua keadaan,” ujarnya. – AGENSI














