KEMAJUAN teknologi autonomi dan robotik sedang mengubah cara barangan dihantar kepada pengguna.
Dalam era urbanisasi pesat dan pertumbuhan e-dagang, sistem penghantaran tradisional yang bergantung kepada van atau motosikal semakin dikritik kerana menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, kos logistik tinggi serta pelepasan karbon.
Maka, syarikat teknologi logistik dari Amerika Syarikat, Zipline International Inc.,muncul sebagai pelopor dalam penyelesaian penghantaran udara menggunakan dron autonomi yang beroperasi tanpa emisi karbon.
Menurut Ketua Kejuruteraan Zipline, Jo Mardall, inovasi itu bukan sahaja mengubah landskap logistik moden, malah membuka potensi baharu bagi sistem penghantaran bandar yang lebih pantas, cekap dan mesra alam.
“Salah satu keunikan utama teknologi Zipline, reka bentuk dron memfokuskan kepada kecekapan tenaga dan operasi autonomi sepenuhnya.
“Sistem dron kami menggunakan perisian navigasi pintar yang membolehkan pesawat tanpa pemandu itu merancang laluan penerbangan secara automatik serta mengelak halangan semasa penghantaran,” katanya dalam satu artikel dalam portal Inside Unmanned Systems.
Tambahnya, teknologi itu menjadikan proses penghantaran lebih pantas berbanding kaedah tradisional.
Dalam banyak kes, pakej boleh dihantar dalam masa kurang 10 minit dari pusat pengedaran ke lokasi penerima.
Syarikat Zipline International Inc. diasaskan pada tahun 2014 oleh sekumpulan jurutera termasuk Keller Rinaudo Cliffton, yang kini berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif.
Pada peringkat awal, visi syarikat itu adalah untuk menyelesaikan cabaran logistik kesihatan di kawasan terpencil dengan menggunakan dron autonomi bagi menghantar bekalan perubatan penting seperti darah serta vaksin.
Cliffton berkongsi, model operasi pertama dilancarkan di Rwanda pada 2016, apabila dron Zipline digunakan untuk menghantar bekalan perubatan ke hospital dan klinik luar bandar dengan pantas serta selamat.
“Program ini terbukti sangat berjaya sehingga lebih 75 peratus penghantaran darah di luar Kigali pernah menggunakan dron Zipline.
“Kejayaan di Afrika menjadi asas kepada pembangunan teknologi penghantaran dron yang lebih maju.
“Zipline kemudian mengembangkan operasi ke Ghana, Jepun dan Amerika Syarikat, sekali gus menjadikan Zipline antara syarikat sistem penghantaran autonomi terbesar di dunia,” ujarnya.
Menjelang pertengahan dekad 2020-an, dron syarikat itu telah melaksanakan berjuta-juta penghantaran komersial dan terbang lebih daripada ratusan juta kilometer secara autonomi.
Platform dron generasi baharu Zipline yang dikenali sebagai Platform 2 (P2) telah direka khusus untuk penghantaran di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Kata Mardall, sistem itu menggunakan dron kecil yang mampu berlegar di udara pada ketinggian tertentu sebelum menurunkan bungkusan secara perlahan menggunakan kabel nipis ke lokasi tepat seperti halaman rumah atau kawasan terbuka.
Pendekatan itu menghapuskan keperluan dron untuk mendarat, sekali gus meningkatkan keselamatan serta memudahkan penghantaran di kawasan bandar padat.

“Dari sudut inovasi teknologi, platform ini turut dilengkapi dengan reka bentuk kipas yang lebih senyap berbanding dron konvensional.
“Pengurangan bunyi merupakan aspek penting bagi operasi di kawasan bandar kerana kebimbangan masyarakat terhadap pencemaran bunyi,” kongsinya.
Selain itu, sistem logistik Zipline juga dibangunkan sebagai rangkaian automasi lengkap yang merangkumi pusat pengedaran pintar, perisian pengurusan armada dron serta sistem pemantauan penerbangan secara masa nyata.
Namun, inovasi terbesar Zipline mungkin terletak pada impaknya terhadap kelestarian alam sekitar.
Tambah Mardall, penggunaan kenderaan besar berasaskan bahan api untuk menghantar pakej kecil adalah sangat tidak cekap dari segi tenaga.
Sebagai alternatif, dron elektrik yang ringan dapat mengurangkan pelepasan karbon secara drastik.
Selain sektor kesihatan, Zipline kini memperluaskan aplikasinya ke dalam industri runcit, makanan dan e-dagang.
Menurut Cliffton, syarikatnya telah bekerjasama dengan beberapa jenama global seperti Walmart dan rangkaian restoran terkemuka untuk menghantar makanan serta barangan runcit menggunakan dron.
“Di beberapa bandar di Amerika Syarikat, pelanggan kini boleh menerima makanan atau produk runcit terus ke halaman rumah melalui sistem penghantaran udara.
“Sebagai contoh, projek perintis penghantaran makanan melalui dron yang dijalankan bersama rangkaian restoran terkenal menunjukkan bagaimana teknologi ini boleh mengubah pengalaman pengguna,” ujarya.
Katanya, dalam ujian tersebut, pesanan makanan dihantar menggunakan dron autonomi yang terbang kira-kira 91 meter di udara sebelum menurunkan pesanan dengan tepat ke lokasi pelanggan.
Di sebalik kemajuan itu, sistem pembangunan penghantaran dron juga berhadapan beberapa cabaran.
Antaranya termasuklah peraturan penerbangan awam, keselamatan ruang udara dan penerimaan masyarakat.
Pihak berkuasa penerbangan di banyak negara masih menilai bagaimana sistem dron komersial boleh beroperasi secara selamat bersama pesawat lain.
Bagaimanapun, syarikat seperti Zipline telah bekerjasama rapat dengan agensi kawal selia untuk memastikan teknologi itu mematuhi piawaian keselamatan yang ketat.
Bagi Cliffton, masa depan logistik bandar bergantung kepada automasi dan teknologi udara.
“Saya berpendapat bahawa penghantaran dron bukan sekadar eksperimen teknologi, tetapi merupakan penyelesaian praktikal kepada masalah ‘last-mile delivery’ iaitu penghantaran terakhir dari pusat pengedaran ke pengguna.
“Sistem dron mampu menghantar barangan sehingga 10 kali lebih pantas pada kos lebih rendah berbanding penghantaran konvensional,” jelasnya.
Melihat kepada perkembangan semasa, Zipline kini dianggap sebagai antara peneraju global dalam teknologi penghantaran.
Dengan pelaburan ratusan juta dolar dan operasi yang semakin meluas di pelbagai negara, syarikat itu berpotensi membentuk masa depan logistik bandar lebih pintar.
Inovasi yang dibangunkan oleh Zipline menunjukkan, gabungan robotik, kecerdasan buatan dan teknologi penerbangan boleh menghasilkan penyelesaian logistik.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada penghantaran segera, dron autonomi tanpa emisi mungkin menjadi asas kepada sistem penghantaran bandar pada masa depan.
















