PETALING JAYA – Sekali lagi Masjid Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar menjadi perhatian apabila dipenuhi orang ramai yang menyertai program qiamullail sehingga hampir menyamai suasana ketika solat Jumaat, awal pagi tadi.
‘Fenomena’ itu mencuri perhatian apabila ramai jemaah yang terdiri daripada golongan muda sanggup bangun seawal pagi bagi mengimarahkan masjid tersebut.
Kemeriahan suasana qiamullail di masjid yang popular dengan layanan ‘VVIP’ oleh orang ramai tanpa mengira status itu turut dikongsikan oleh beberapa jemaahnya.
Antaranya menerusi hantaran video oleh @Fizo Helmi yang memaparkan kehadiran ribuan para jemaah memenuhi setiap sudut ruangan masjid berkenaan.
“Iktikaf dan qiamullail Masjid TNB. Suasana yang penuh ketenangan,” katanya pada kapsyen.
@Luqmannazri turut berkongsikan ‘kemeriahan’ masjid tersebut pada pukul 4.45 pagi tadi.
“Qiam 4:45. Bila Allah jemput kau sekali lagi ke Masjid TNB Bangsar, tapi bukan untuk tarawih,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pengurusan sistematik serta layanan ‘VVIP’ yang diberikan kepada ribuan jemaah setiap hari meletakkan Masjid TNB Bangsar antara lokasi paling digemari pada bulan Ramadan sehingga mencecah 6,000 orang sehari. – KOSMO! ONLINE














