KEHADIRAN model Jaecoo J5 dalam pasaran tempatan menandakan langkah baharu jenama Omoda Jaecoo dalam memperluas pengaruhnya dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) di Malaysia.
Jika sebelum ini, model Jaecoo J7 mencuri perhatian dengan imej lebih besar dan premium, kini J5 tampil sebagai pilihan lebih kompak dengan teknologi moden.
Diposisikan sebagai model mampu milik dalam barisan Jaecoo, J5 hadir dengan pendekatan berbeza menyasarkan pengguna bandar yang aktif serta mahukan SUV bergaya tanpa perlu berbelanja besar.
Walaupun lebih kecil berbanding J7, model ini tidak sekadar menjadi ‘adik’ dalam keluarga Jaecoo, sebaliknya dibangunkan dengan identiti sendiri sebagai ‘Urban Explorer’ yang menggabungkan reka bentuk moden, teknologi pintar dan keselesaan premium.
Dengan harga pasaran bermula RM108,000 atas jalan raya tanpa insurans, J5 yang dilancarkan pada 5 Mac lalu dilihat berpotensi menjadi model penting yang membuka pintu kepada lebih ramai pengguna untuk merasai pengalaman pemanduan yang ditawarkan Omoda Jaecoo.
Dari segi reka bentuk luaran, J5 nampak seakan-akan J7 tetapi dalam skala lebih kecil dengan menampilkan gril hadapan berjalur tegak serta diberikan lampu hadapan LED berkotak nipis yang diinspirasikan daripada model SUV mewah popular dari Eropah Range Rover.
Sedikit perbezaan dari segi pembuka pintu J5 yang konvensional berbanding J7 pintu jenis terbenam.
J5 diperkemas lagi dengan rim aloi 18 inci dan bumbung panaromik kaca yang memberikan penampilan premium.
Dimensi SUV kompak ini berukuran 4,380 milimeter (mm) panjang, 1,860mm lebar, 1,650mm tinggi dan jarak antara roda 2,620mm yang mana saiz ini memberikan keseimbangan antara gaya urban dan ruang dalaman yang luas.
Hanya satu varian J5 ditawarkan di Malaysia yang dipacu oleh enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan kuasa 147PS dan tork maksimum 210Nm.
J5 dipadankan dengan transmisi CVT automatik yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan untuk pemanduan yang lancar dan efisien.
Dari segi penggunaan bahan api, SUV ini mencatatkan sekitar 6.4 liter bagi setiap 100 kilometer (km) berdasarkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) sekali gus memenuhi piawaian Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di Malaysia.
Kenderaan ini mampu memecut dari pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 10.2 saat dengan kelajuan maksimum 175km/j.
Omoda Jaecoo memberi jaminan bahawa J5 dibangunkan dengan struktur badan yang direka untuk memberikan penyerapan impak yang optimum sekiranya berlaku kemalangan.
Bagi memastikan kestabilan serta keselesaan, J5 menggunakan suspensi hadapan jenis topang MacPherson digandingkan dengan suspensi belakang berbilang pautan (multi-link).
Meninjau ke ruangan kabin jentera tersebut, J5 menawarkan suasana dalaman yang tenang dengan sentuhan moden yang memberi penekanan kepada aspek keselesaan, keterhubungan teknologi serta fleksibiliti penggunaan harian.
Lebih menarik, sistem audio lapan pembesar suara pada J5 dengan kawalan aplikasi membolehkan ruang dalam kenderaan ini berubah menjadi bilik karaoke peribadi yang memberikan hiburan tambahan kepada pemandu dan penumpang.
Selain itu, cermin hadapan SUV ini mempunyai saduran berganda berfungsi bersama ciri penebat bunyi lain bagi mengurangkan bunyi dari luar dan getaran.
Hasilnya kabin menawarkan persekitaran lebih senyap, selesa dan mengasyikkan ketika memandu.
Kerusi J5 menerima upholsteri kulit tiruan berwarna hitam yang dikatakan mesra haiwan peliharaan dengan ciri antibakteria dan tahan calar.
Untuk keselesaan dalam cuaca panas, kerusi hadapannya turut dilengkapi dengan fungsi pengudaraan.
Walaupun bersaiz kompak, J5 agak praktikal dengan ruang but menawarkan kapasiti 480 liter yang boleh diperluas sehingga 1,284 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Praktikaliti ini menjadikan J5 model yang sesuai untuk pelbagai kegunaan sama ada perjalanan harian di bandar, kegunaan keluarga atau percutian di hujung minggu.
Seterusnya, aspek keselamatan J5 dilengkapi dengan pakej Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (Adas) Tahap 2 yang merangkumi 19 ciri bantuan pemandu.
Antaranya sistem brek kecemasan automatik, bantuan pengekal lorong, pengesan titik buta dan disokong kamera pandang keliling 540 darjah bagi membantu pemandu ketika memparkir kenderaan atau bergerak pada kelajuan rendah.
Kesimpulannya, dengan gabungan prestasi enjin, ciri keselamatan lengkap dan rekaan menarik, Jaecoo J5 berpotensi menjadi pilihan menarik bagi pengguna yang mencari SUV bergaya untuk kegunaan harian.














