KULIM – Pasangan suami isteri bersyukur apabila pembedahan pemindahan hati bayi mereka yang menghidap penyakit Biliary Atresia, Nor Farrel Iman Muhamad Fahmin di Shanghai, China berjalan lancar walaupun terpaksa melalui satu lagi prosedur pembedahan susulan.
Ibunya, Amirah Selgi, 33, berkata, dia dan bayinya berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pada 10 Mac lalu.
Katanya, Nor Farrel bagaimanapun terpaksa dimasukkan semula ke bilik pembedahan pada keesokan harinya apabila doktor mengesan saluran arteri tersumbat, namun prosedur tersebut berjaya dilakukan.
“Memang sangat berdebar ketika itu, tetapi saya kuatkan hati demi kesihatan Farrel,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Amirah, dia kini berehat di wad biasa selepas mengalami kesakitan pada bahagian perut yang mempunyai lima kesan tebukan pembedahan.
“Pada awalnya memang sakit, tetapi sekarang sudah hari keempat dan keadaan makin beransur pulih,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri berjaya mengumpul dana sebanyak RM209,345.05 bagi membiayai rawatan Nor Farrel selepas kempen kutipan yang digerakkan oleh Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia mendapat perhatian ramai. – KOSMO! ONLINE














