LONDON – Tonggak Arsenal, Bukayo Saka disaran meningkatkan prestasi selepas dikritik mempamerkan prestasi hambar sejak beberapa aksi lepas sekali gus menggesa pemain muda, Noni Madueke mengisi tempatnya menentang Everton awal pagi esok.
Bekas pertahanan Arsenal, Martin Keown mengakui tekanan sedang melanda Saka selepas aksi kurang menyengat di posisi sayap kanan ketika menentang Bayer Leverkusen awal minggu ini sebelum digantikan Madueke pada babak kedua.
Menurut Keown, keputusan untuk merehatkan Saka wajar dipertimbangkan oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta selepas pasukan terlalu bergantung kepada pemain berusia 25 tahun itu sejak beberapa musim lepas.
“Saya rasa Arsenal sudah menjangkakan situasi ini (kemelut prestasi Saka) dan ini sebabnya mereka sanggup mengeluarkan wang untuk mendapatkan Madueke. Selama ini pasukan banyak bergantung kepada Saka, tetapi sekarang mereka ada pilihan lain.
“Madueke masuk dan memberikan tenaga tambahan sehingga mencetuskan impak buat pasukan. Jika Saka tidak bekerja keras, saya rasa kedudukannya dalam kesebelasan utama akan tergugat,” katanya.
Dalam masa lain, Arteta berdepan cabaran apabila kapten pasukan, Martin Odegaard masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialami ketika menentang Brentford pada bulan lalu.
“Kita masih kehilangan khidmat Odegaard pada aksi akan datang tetapi saya tidak terlalu risau kerana kita ada ramai pemain lain yang memiliki kualiti untuk bantu jentera serangan pasukan menyerlah nanti,” katanya. – AGENSI














