MUNGKIN hanya kebetulan, itu antara pendapat netizen yang membanjiri media sosial selepas menonton drama Kerana Cinta Itu Dusta.
Hangat ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3, drama tersebut membariskan pelakon hebat seperti Emma Maembong, Jazmy Juma, Azira Shafinaz dan Nazrief Nazri.
Menariknya, jalan cerita naskhah arahan Nur Ain Sharif itu dikatakan menyindir kepalsuan dalam rumah tangga dan budaya pempengaruh moden termasuk isu curang, fitnah serta beban media sosial.
Bahkan ramai penonton mendakwa jalan ceritanya sangat mirip dengan beberapa kontroversi membabitkan pempengaruh media sosial tempatan yang berlaku sebelum ini.
Kerana Cinta Itu Dusta mengisahkan pasangan suami isteri, Sufian lakonan Jazmy dan Orked (Emma) membina perniagaan bersama dari rumah sebelum berjaya muncul sebagai pasangan influencer dikenali ramai.
Namun, kebahagiaan mereka semakin pudar dengan kehadiran rakan Orked iaitu Seri (Azira). Pelbagai konflik timbul termasuk Sufian didakwa curang dengan rakan baik isteri sendiri.














