PETALING JAYA – Seramai 14,332 pengarah syarikat dihalang daripada meninggalkan Malaysia kerana gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja mereka, berdasarkan rekod sehingga Disember 2025.
Daripada jumlah tersebut, seramai 2,257 orang adalah nama baharu diserahkan oleh KWSP kepada Jabatan Imigresen Malaysia antara Januari hingga Disember 2025 di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
Pada masa sama, sebanyak 3,530 saman sivil difailkan oleh KWSP dan pihak berkenaan mengambil sebanyak 6,011 tindakan jenayah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang gagal menunaikan caruman KWSP pekerja.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, kesemua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP dan mereka yang gagal memenuhi kewajipan ditetapkan itu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara.
“Pasukan penguatkuasaan kami sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar dengan tepat dan pada masanya.
“Pembayaran caruman yang teratur pada masanya adalah penting bukan sahaja dalam melindungi hak pekerja, malah bagi memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rangka kerja KWSP juga memastikan majikan memenuhi tanggungjawab mereka untuk mencarum bagi simpanan persaraan pekerja.
Katanya, tanpa mekanisme yang ditetapkan secara berkanun ini, pekerja mempunyai cara terhad untuk memastikan majikan mereka mencarum secara konsisten bagi simpanan persaraan.
Sementara itu, Sazaliza berkata, KWSP telah menyelesaikan 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan pekerja yang diterima, manakala 12,161 kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang.
“Setiap aduan diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan hak ahli sebagai pekerja sentiasa dilindungi.
“KWSP akan terus mempergiat usaha penguatkuasaannya bagi memastikan majikan memenuhi kewajipan ditetapkan terhadap mereka. Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas bagi melindungi simpanan persaraan ahli yang terus menjadi keutamaan kami,” katanya.
Mengulas lanjut, ahli KWSP digesa untuk sentiasa menyemak akaun masing-masing melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memastikan caruman majikan dikreditkan tepat pada masanya dan dalam jumlah yang betul.
“Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, ahli hendaklah segera menghubungi majikan bagi mendapatkan pengesahan. Jika majikan gagal membuat caruman ditetapkan, ahli boleh menghubungi atau mengunjungi mana-mana pejabat KWSP untuk membuat aduan, berserta dokumen sokongan seperti surat tawaran pekerjaan, slip gaji atau rekod lain yang berkaitan.
“KWSP juga menggalakkan majikan menggunakan platform i-Akaun (Majikan) untuk menyemak senarai pekerja, caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran. Jika terdapat sebarang isu berkaitan tunggakan caruman, majikan boleh menghubungi atau hadir di mana-mana pejabat KWSP untuk menyelesaikannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














