JOHOR BAHRU – Polis berjaya memberkas seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita warga asing di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, remaja berkenaan ditahan kira-kira pukul 8 malam dalam satu serbuan di sebuah kondominium di bandar ini.
Menurut beliau, hasil siasatan dan tindakan pantas pihak polis membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian jenayah itu berlaku.
“Turut dirampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut termasuk sehelai baju-T berwarna coklat, seluar jeans panjang biru, topi hitam serta sepasang kasut getah hitam.
“Polis turut merampas sebuah cakera keras rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Chuan Huat, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Jelasnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati negatif dan bebas daripada sebarang jenis dadah.
Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi permohonan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Majistret membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 18 Mac bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang wanita warga asing berusia 37 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman dalam sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini, pada 4.30 pagi semalam.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami sembilan luka tikaman di bahagian tengah dada, selain satu tikaman pada leher, satu di bahagian kanan dada dan satu lagi di bahagian kiri dada.
Pemeriksaan turut mendapati mangsa mengalami luka tikaman di jari telunjuk tangan kanan serta di lengan kanan.-KOSMO! ONLINE














