PETALING JAYA – Biarpun isterinya telah meninggal dunia, seorang lelaki sanggup berkorban menjaga dan membesarkan empat adik iparnya dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang sejak 21 tahun lalu.
Kehadiran Mohd. Puad Basri @ Hassan, 62, bukan hanya sekadar abang ipar malah dianggap sebagai ‘ayah’ dalam kalangan adik-adik iparnya yang menyifatkan lelaki itu insan penting dan tidak pernah berkira dalam menjaga mereka.
Adik ipar Mohd. Puad, Syazana Ta’at, 43, berkata, kehidupan mereka berubah selepas kehilangan ibu bapa ketika masih kecil, menyebabkan mereka bergantung kepada abang iparnya sebagai
tempat berlindung.
Tambahnya, Mohd. Puad yang bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat peguam sanggup menanggung perbelanjaan persekolahan serta menguruskan keperluan mereka ketika belajar di asrama.
“Selepas kakak, Khirina meninggal dunia sejak 21 tahun lalu, abang iparlah tempat kami bergantung. Setiap kali adik-adik pergi dan balik asrama, dialah yang menghantar dan mengambilnya. Hari raya pun dia yang sediakan baju baharu untuk kami.” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Bapa Syazana, Ta’at Rahmat meninggal dunia pada 3 September 1993 manakala ibunya, Aisah Mosaba pula meninggal dunia pada 28 November 1994.
Menurutnya, selain mereka adik beradik, Mohd. Puad turut membesarkan empat anaknya dan lelaki itu tidak pernah mengeluh biarpun gaji yang diperoleh 21 tahun lalu sekitar RM400 sebulan.
“Sepanjang kami membesar, dia tidak pernah meninggikan suara marah atau mengungkit apa yang dia buat untuk kami,” luahnya.
Syazana berkata, jika bukan kerana ihsan abang iparnya itu, mereka empat beradik mungkin sudah terpisah atau membesar di rumah rumah kebajikan memandangkan ramai pihak yang mahu mengambil mereka sebagai anak angkat ketika itu.
“Tanpa dia, mungkin kami dah tercampak dekat rumah anak yatim. Dia buktikan pertalian keluarga bukan pada nama atau darah semata-mata, tapi pada kasih sayang dan tanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Syazana berkata, Mohd. Puad memilih untuk tidak berkahwin lain sepanjang 21 tahun ini kerana bimbang keadaan itu menjejaskan hubungan dengan adik-adik iparnya.
“Abang saya cakap dia tidak mahu terputus hubungan dengan adik-adik kerana takut isteri baru nanti tidak boleh terima adik-adik sebab kami sentiasa berkumpul,” jelasnya.
Wanita itu turut merasakan bahawa abang iparnya memang tidak boleh menerima orang lain dalam hidupnya malah susun atur perabot di dalam rumahnya juga tidak pernah berubah.
“Terima kasih atas segalanya, pengorbanan yang kami tak terbalas, dia tiada galang gantinya,” jelasnya.














