JOHOR BAHRU – Rata-rata pekerja Singapura yang merupakan rakyat negara ini terpaksa melalui kesesakan trafik luar biasa di pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas di republik itu sejak 28 Februari lalu.
Keadaan itu berikutan Singapura memperketatkan tahap keselamatan berikutan konflik Amerika dan Iran.
Pemeriksaan ketat setiap pengembara yang melalui telah menyebabkan perjalanan lebih lama bagi setiap pengembara dan pelancong ke negara itu.
Seorang pekerja hotel di Singapura, Eddie Romzi Fauzi, 39, berkata, tempoh perjalanan merentasi Tambak Johor
semakin lama.
“Biasa kalau naik motor keluar pukul 6 pagi dalam pukul 7 lebih dah sampai tempat kerja, sekarang kena turun awal pukul 4 pagi dah kena gerak, sesak dia lain macam.
“Pihak keselamatan Singapura dia buat pemeriksaan satu-satu, dia periksa semua, siap guna peralatan dan anjing pengesan.
“Biasa sejam dua jam sahaja sesak tetapi sekarang ada sampai empat jam kena hadap kesesakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, seorang tukang masak di sebuah hospital di Singapura, Rosnah Ismail, 50, berkata, dia menggunakan perkhidmatan awam untuk pergi kerja di Singapura.
Jelasnya, pengangkutan awam darat juga tidak terlepas dengan kesesakan dan pemeriksaan keselamatan di pintu masuk republik berkenaan.
“Saya memang ulang-alik naik bas ke tempat kerja di Tanjong Pagar, memang sekarang sesak jalan nak masuk Tambak Johor teruk, naik bas ok la sikit dapatlah lelap mata sementara nak sampai.
“Kalau kerja syif pagi, bertolak dari rumah pukul 4 pagi, biasa kalau gerak 6 pagi sempat sampai sebelum pukul 8 pagi, sekarang memang kena keluar awal dari rumah,”katanya.
Dalam pada itu, seorang pemandu bas di Singapura, Helmizi Londing, 48, berkata, susulan tindakan Singapura memperketatkan kawalan keselamatan, dia beralih menggunakan pengangkutan awam.
“Tiga hari pertama, saya terpaksa tempuh perjalanan selama empat jam pergi empat jam nak balik, dekat situ buang masa dah lapan jam setiap hari. Memang memenatkan.
“Kena masa balik, pernah berbuka puasa atas motosikal sebab jem tak bergerak-gerak. Sekarang saya pergi kerja naik bas, sekurang-kurangnya semasa pergi dan balik boleh lah rehat tidur sekejap dalam bas,”katanya.














