MARANG – Bapa Hayl Haarith yang maut dipercayai akibat didera di sebuah taska di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam terkilan hasratnya untuk membeli pakaian raya buat bayinya berusia empat bulan itu tidak kesampaian.
Mohd. Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, dia dan isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, sebelum ini teruja untuk membeli pakaian raya buat anak sulung mereka pada masa terdekat.
“Saya dan isteri (Ummu Habibah) yang tinggal berasingan kerana tuntutan kerja merancang untuk membeli baju raya Hayl Haarith bersama-sama.
“Tak sangka kami dikejutkan dengan pemergian bayi kami semalam (kelmarin). Patutnya tahun ini kami beraya bertiga buat kali pertama,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut dan Rhu Redang di sini hari ini.
Terdahulu jenazah Hayl Haarith selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut pada pukul 10 pagi.
Mohd. Syafaeez berkata, dia masih terkenang keletah bayinya yang ceria sewaktu membuat panggilan video bersama isteri, Ummu Habibah yang bertugas sebagai jururawat Hospital Seberang Jaya pada malam sebelum kejadian.
Kosmo! hari ini melaporkan Hayl Haarith ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska 24 jam dalam kawasan Hospital Seberang Jaya sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE














