TEKNOLOGI digital masa kini telah banyak membuka ruang baharu kepada pelukis grafik untuk menghasilkan karya lebih ‘hidup’ menerusi perisian aplikasi yang sekali gus menyerlahkan sisi kreativiti pelukis.
Bukan sahaja dilihat lebih efisien, malah perisian itu membolehkan pelukis tidak lagi terlalu bergantung kepada kaedah konvensional seperti kertas, pensel, pen dakwat atau cat yang dahulu berperanan sebagai medium utama.
Antara aplikasi popular dalam kalangan pelukis grafik ialah Sketchbook by Autodesk (Sketchbook) iaitu sebuah perisian lukisan digital yang menawarkan pelbagai fungsi menarik untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi.
Bagi illustrator professional, Damian Willcox, aplikasi tersebut berfungsi secara dinamik dengan kelebihan utama ialah antara muka yang ringkas dan mesra pengguna.
Keistimewaan itu membolehkan pelukis memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses kreatif tanpa terganggu dengan tetapan yang terlalu kompleks.
“Sketchbook merupakan satu-satunya aplikasi yang membuatkan saya terlupa sedang menggunakan komputer kerana bahagian pemuka aplikasi ini sangat jelas tanpa perlu mencari butang pada menu.
“Proses melakar lebih responsif dan saya boleh menyiapkan 90 peratus kerja sebelum beralih ke perisian lain hanya untuk proses akhir (finishing) yang sangat teknikal,” katanya menerusi perkongsi di Facebook.

Aplikasi tersebut juga bukan sekadar perisian lukisan digital biasa kerana memiliki keupayaan mengekalkan pengalaman melukis yang hampir menyerupai teknik tradisional dan dianggap sebagai antara buku lakaran digital terbaik.
“Aplikasi ini berjaya mengekalkan kesederhanaan sebuah buku lakaran fizikal tetapi pada masa sama menawarkan pelbagai kelebihan teknologi digital yang memudahkan proses melukis.
“Salah satu ciri yang paling saya gemari ialah fungsi symmetry dan perspective guides apabila kedua-dua fungsi ini membantu pelukis menghasilkan lukisan yang lebih seimbang dan tepat, terutamanya ketika melukis latar belakang komik yang kompleks,” katanya lagi.
Willcox turut menyifatkan fungsi tersebut sebagai antara yang paling intuitif dalam pasaran kerana mudah digunakan dan tidak memerlukan tetapan yang rumit.
Dengan bantuan panduan perspektif, pelukis dapat melukis bangunan, jalan atau ruang bandar dengan lebih cepat dan kemas.

“Sketchbook turut menonjol melalui enjin berus digital yang memberikan pengalaman melukis hampir sama seperti menggunakan pen dan dakwat sebenar.
“Bagi artis yang mempunyai latar belakang lukisan tradisional, aspek ini amat penting kerana ia membantu mereka menyesuaikan diri dengan medium digital tanpa kehilangan rasa semula jadi ketika melukis.
“Sensitiviti tekanan pada stylus (pen digital) juga membolehkan garisan yang dihasilkan kelihatan lebih organik dan hidup,” ujarnya.
Oleh itu, Sketchbook bukan sekadar aplikasi lukisan yang muncul dek perkembangan teknologi tetapi sebuah platform yang mengekalkan semangat buku lakaran klasik dalam bentuk digital.
Gabungan fungsi yang praktikal, pengalaman melukis yang realistik serta antaramuka yang ringkas menjadikan Sketchbook pilihan ideal bagi pelukis yang mahu mengekspresikan idea dengan cepat dan bebas.














