ALOR SETAR – Seramai sembilan daripada 11 individu yang ditahan susulan kejadian tembakan terhadap komander sempadan di Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari lalu telah dibebaskan oleh pihak polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tujuh suspek diberikan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah, manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
“Enam daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, setakat ini dua suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut.
“Pihak polis masih meneruskan siasatan dan meneliti keterangan-keterangan bersabit insiden jenayah ini. Usaha membawa suspek yang bertanggungjawab dalam kes ini ke muka pengadilan masih diteruskan,” ujarnya.
Jelasnya, kesemua 11 suspek yang ditahan berhubung kejadian itu terdiri daripada 10 lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand berusia antara 22 hingga 60 tahun.
Kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkannya terus kepada pihak polis menerusi talian MERS 999 atau menghubungi balai polis berdekatan.
Kosmo! pada 25 Februari lalu melaporkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi.
Kejadian itu berlaku ketika Mohd. Nasaruddin dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan Proton X70.
Beliau bagaimanapun terselamat apabila dua tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua suspek yang menaiki sebuah motosikal tersasar. – KOSMO! ONLINE






