KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memperkasa pemantauan terhadap pengisytiharan harta oleh pegawai dan anggota tentera termasuk gaya hidup mereka.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pengisytiharan harta oleh anggota pertahanan bersifat tahunan, namun persoalan yang timbul sama ada perkara tersebut diisytihar secara sempurna.
“Kita melihat juga semua faktor ini, bukan sahaja melihat kepada pengisytiharan harta, tetapi gaya hidup kerana kita tahu amalan salah guna kuasa ini boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Wan Martina Wan Yusoff mengenai langkah untuk menyelamatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpalit dengan isu integriti sebelum ini.
Terdahulu, Adly berkata, sebarang aduan berhubung pengisytiharan harta akan dinilai oleh Unit Integriti kementerian itu, selain pemeriksaan audit dalaman yang dijalankan secara berkala.
Katanya, Mindef turut menekankan kepentingan pembentukan nilai dan disiplin dalam kalangan anggota sebagai langkah pencegahan terhadap salah guna kuasa.
“Kami bukan sahaja memperkukuhkan sistem, malah menekankan pembentukan nilai sebagai aspek penting dalam memastikan anggota pertahanan mematuhi standard integriti yang tinggi,” ujarnya.
Tambahnya, langkah itu dilihat sebagai usaha bersepadu bagi menambah baik sistem sedia ada dan memastikan ketelusan serta akauntabiliti dalam kalangan anggota pertahanan negara. – KOSMO! ONLINE














