PETALING JAYA – Suasana di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam dilaporkan sesak luar biasa apabila ratusan kenderaan dipercayai terkandas dalam kawasan parkir sehingga berjam-jam, petang tadi.
Perkara itu tular di media sosial selepas beberapa pengunjung berkongsi pengalaman mereka yang terperangkap dalam kesesakan kenderaan di dalam kawasan parkir pusat beli-belah tersebut.
Seorang pengguna media sosial, Raffi Sulaiman berkata, keadaan trafik di dalam kawasan parkir itu seolah-olah seperti kesesakan jalan raya ketika musim perayaan.
“Kalau nak merasa jalan jem (sesak) macam nak balik beraya ke Kelantan, kau orang boleh datang. Minimum tiga jam dalam kawasan parkir kereta, maksimum sampai 12 jam,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Jasmin Zayani mendakwa dia terperangkap hampir setengah jam di kawasan parkir tingkat bumbung tanpa sebarang pergerakan.
“Helo, kenapa jem melekat ya? Dah 30 minit melekat dekat rooftop parking (parkir tingkat berbumbung), tak gerak-gerak,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Zack turut berkongsi pengalaman hampir dua jam terkandas di kawasan parkir pusat beli-belah tersebut.
“Stuck (terkandas) dari pukul 4.30 petang sampai pukul 6.03 petang. Tak gerak-gerak langsung, masalahnya nak balik berbuka,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Amirah Mat mempersoalkan pengurusan pusat beli-belah berkenaan susulan keadaan tersebut yang menyukarkan pengunjung.
“Apa masalah dekat sini? Mana pengurusan? Kasihan yang bawa warga emas dengan yang ada anak kecil,” katanya. – KOSMO! ONLINE














