WREXHAM – Chelsea mengakui mereka terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Wrexham 4-2 selepas masa tambahan dalam aksi pusingan kelima Piala FA di Racecourse Ground, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir awal pagi semalam.
Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengakui kemenangan tersebut tidak hadir dengan mudah apabila pasukannya dipaksa berhempas pulas oleh kelab divisyen kedua itu sepanjang perlawanan.
“Kami berjaya mara dan itu yang paling penting. Ia bukan persembahan terbaik kami, tetapi kami sudah menjangkakan perlawanan yang sangat sukar,” katanya.
Menurut Rosenior, Wrexham mempamerkan aksi yang cukup baik sehingga memberikan tekanan berterusan kepada skuad The Blues sepanjang perlawanan.
“Wrexham bermain dengan sangat baik. Ini adalah perlawanan Piala FA sebenar, sebab itulah semua orang menyukai kejohanan ini,” jelasnya.
Chelsea akhirnya memastikan kemenangan pada masa tambahan menerusi jaringan Alejandro Garnacho dan Joao Pedro selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar.
Sementara itu, pengendali Wrexham, Phil Parkinson tetap berbangga dengan usaha anak buahnya meskipun gagal melakar kejutan ke atas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
“Saya sangat bangga dengan pemain malam ini. Mereka bermain dengan baik dan memberikan tentangan sengit kepada Chelsea,” katanya. – AGENSI














