JOHOR BAHRU – Sindiket perjudian online yang sebelum ini tertumpu di unit-unit kondominium dan bangunan-bangunan mewah kini mengubah modus operandi mereka apabila menjadikan kedai kopi, restoran dan kopitiam sebagai pusat operasi mereka.
Taktik yang digunakan sindiket berkenaan juga sangat mudah iaitu pengusaha kedai kopi dan restoran hanya perlu menyediakan meja makan di premis perniagaan mereka kepada ejen yang dilantik.
Ejen atau wakil kepada sindiket perjudian itu pula akan datang setiap hari ke premis berkenaan untuk memantau dan menjalankan operasi haram terbabit.
Sumber mendedahkan, modus operandi sindiket perjudian online itu mula dikesan sejak awal tahun ini.
“Dahulunya sindiket sewa premis bangunan atau kondominium untuk jalankan aktiviti haram mereka, tetapi kini mereka cuba berselindung di sebalik kedai-kedai makan, restoran serta kopitiam.
“Taktik ini dilakukan bagi mengelirukan pihak berkuasa selain sukar dikesan berikutan individu atau ejen sentiasa bertukar-tukar orang.
“Ejen atau wakil sindiket akan duduk di meja yang disewa itu, mereka kemudian akan menghantar link kepada pelanggan dan sekiranya kaki judi berminat boleh bertarung dengan meletakkan wang taruhan yang dimasukkan secara online atau secara tunai,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurut sumber, sebagai permulaan, tauke atau ejen sindiket akan datang ke premis makanan dan cuba memujuk pemilik supaya bersetuju dengan tawaran yang diberikan.
Malah, kegawatan ekonomi yang dihadapi para peniaga terutama untuk membayar sewa ekoran kekurangan pelanggan kesan pandemik Covid-19 turut digunakan oleh sindiket untuk menjalin kerjasama.

“Kita sedia maklum semua sektor perniagaan mengalami kemerosotan, termasuklah peniaga yang terlibat dalam penyediaan makanan dan minuman.
“Atas alasan itu, tauke judi akan mengambil kesempatan bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka dengan memberi tawaran lumayan kepada pengusaha restoran.
“Caranya sangat mudah, peniaga hanya perlu sediakan satu dua meja untuk mereka jalankan judi online, sewa bulanan premis akan ditanggung sindiket,” katanya.
Sumber berkata, sindiket akan melunaskan komitmen bulanan peniaga bergantung kepada kadar sewa antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
Tambahnya, pemilik premis juga akan diberi imbuhan seperti komisen mengikut peratusan tertentu bergantung kepada keuntungan selain bayaran pajak meja makan sehingga mencecah ribuan ringgit secara bulanan.
“Paling penting, sindiket memberi janji manis serta jaminan bahawa perniagaan restoran akan sentiasa selamat dan kawasan berkenaan dilindungi pihak tertentu disyaki oleh kumpulan kongsi gelap,” jelasnya.
Sumber itu berkata, kebanyakan premis perniagaan yang mempunyai kemudahan WiFi percuma menjadi sasaran utama mereka.
“Kalau premis tidak ada internet, mereka (sindiket) sanggup keluarkan belanja dengan berkongsi liputan kepada pelanggan asalkan mereka boleh jalankan bisnes,” katanya.
Jelas sumber, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket telah mewujudkan kumpulan khas menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram, WeChat dan sebagainya bagi memudahkan urusan perjudian haram mereka.
Katanya, jika ada pelanggan yang memenangi sesuatu taruhan, mereka (kaki judi) akan membuat tuntutan menerusi perantaraan komunikasi yang diwujudkan itu sebelum sindiket memasukkan wang taruhan yang dimenangi.














