fbpx
NORINE menunjukkan biskut yang dihasilkan di premisnya ketika ditemui di Kampung Kobah, Pendang baru-baru ini.

Kaya kerana wang zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesengsa­ra­an yang dialami oleh sebahagian asnaf kini hanya tinggal sejarah apabila mereka bukan sahaja berjaya bangkit untuk hidup selesa, malah menjadi antara pembayar za­kat untuk membantu orang lain pula.

Daripada hidup penuh tekanan dan berendam air mata setiap hari, sebahagian asnaf yang mempunyai tekad dan keazaman untuk mengubah nasib kini menjadi usahawan berjaya mengusahakan pelbagai perniagaan hasil bantuan wang zakat.

Di Shah Alam, Saini Yusuf, 48, berkata, kegelapan hidupnya ber­­mula apabila disahkan menghidap tibi sehingga dikuarantin selama enam bulan di hospital yang menjejaskan pendapatan RM1,800 sebagai pemandu lori.

Katanya, ketika itu isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung empat anak, sewa rumah dan belanja harian yang sangat membebankan.

“Suatu hari, ada doktor me­nge­syorkan nama saya kepada Lembaga Zakat Selangor untuk bantuan persekolahan.

“Keluarga dan adik beradik ada juga bantu sepanjang kuarantin. Saya malu jadi asnaf apatah lagi kena sindir dengan masyarakat, manakala kawan baik mula menjauh,” katanya.

SAINI bersama isterinya, Fatimah Zakaria kini menjalankan perniagaan sendiri di Hulu Selangor dan Ulu Yam.

Menurut Saini, dia kemudian bertekad untuk bangkit dan memekakkan telinga segala kata ­nista orang.

Tambahnya, nasibnya berubah apabila isteri mengikuti kursus pembuatan kuih dan kek sebelum menerima bantuan modal dan bimbingan berterusan pada 2018.

“Hasil jualan kami kumpul dan buka bisnes lain seperti menjual bateri kenderaan. Cabaran besar ialah ketika pandemik kerana pembekal mahu tunai segera, permintaan banyak tetapi modal tak cukup,” katanya.

Selepas tiga tahun beroperasi, dua premis di Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan Ulu Yam membolehkan Saini keluar daripada kelompok asnaf dan mula membayar zakat perniagaan sejak tahun lalu.

SITI NOOR SHAKINAH ketika menjalankan sesi fotografi di salah sebuah tadika yang kini menjadi antara sumber rezeki bersama suaminya.

Siti Noor Shakinah Ab. Halim, 33, pula memberitahu, perniagaan fotografi dan percetakan yang diusahakan merudum ketika pandemik hingga dia menjadi asnaf.

“Duit simpanan habis licin kerana semua aktiviti tidak boleh dilakukan. Sekolah tutup, majlis tidak ada, manakala bil dan sewa rumah kena bayar.

“Rakan semua tidak ada yang membantu sebelum saya me­minta bantuan zakat untuk menjadi asnaf selama dua tahun,” katanya.

Ujar Siti Noor Shakinah, tempoh bergelar asnaf mengajar dirinya erti menghargai setiap rezeki.

“Dulu mungkin tak kisah kalau makanan tak habis dan dibuang. Bila pernah berada di titik bawah, saya tak sanggup lagi membazir. Kini makan ikut keperluan, bukan nafsu.

“Pengalaman itu juga mengajar saya disiplin dalam pengurusan kewangan keluarga supaya kehidupan lebih stabil, tenang dan terancang,” ujarnya.

Menurut Siti Noor Shakinah, bantuan zakat merupakan suntikan semangat untuk bangkit dan membina semula keyakinan diri.

Kini, perniagaan fotografi dan percetakan yang diusahakan bersama suami kembali stabil de­ngan pendapatan bulanan tahun 2024 mencecah antara RM7,000 hingga RM9,000 sekali gus membolehkan mereka menjadi pembayar zakat.

Di Pendang, Norine Mohd. Noh, 44, berkata, dia bangkit mengubah nasib keluarga selepas terlalu lama dibelenggu kemiskinan dan bebanan hutang.

Katanya, segalanya bermula apabila pihak zakat memberi bantuan peralatan perniagaan seperti ketuhar dan mesin pe­ngadun untuk membuat biskut dalam kuantiti banyak pada 2021.

“Sebelum ini saya hanya mengambil upah menjahit, manakala suami, Mohd. Khadhirudin Abu Bakar, 47, membuka bengkel motosikal dengan pendapatan tidak seberapa.

“Lama-kelamaan saya dibebani hutang pinjaman perniagaan. Pada masa sama saya membuat biskut raya secara kecil-kecilan dan orang mula tanya. Sejak itu saya ambil tempahan tetapi dalam kuantiti sedikit,” katanya.

Menurut Norine, dia kemudian mengambil keputusan berhenti menjahit dan membuat biskut kerana lebih menguntungkan.

“Saya sertai pelbagai program keusahawanan yang membuka peluang untuk membekalkan biskut sempena pelbagai perayaan. Selain itu, saya juga menerima pelbagai bantuan,” jelasnya.

Kini, Norine mampu menghasilkan kira-kira 12,000 bekas biskut setiap musim perayaan dengan bantuan 12 pekerja.

“Alhamdulillah perniagaan ini bukan sahaja mampu menyara keluarga malah saya turut menunaikan zakat perniagaan setiap tahun,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN