PERMULAAN yang agak perlahan di set ketiga menjadi antara penyebab beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton All England.
Pada aksi suku akhir di Utilita Arena, Birmingham malam kelmarin, gandingan No. 6 dunia itu terpaksa akur tewas kepada rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi keputusan tiga set 16-21, 22-20, 14-21.
Selepas tewas di set pertama, Wei Chong-Kai Wun bangkit memenangi set kedua bagi mengheret perlawanan ke set penentuan, namun sebaliknya yang berlaku di set ketiga apabila mereka jauh ketinggalan 2-11.
Walaupun berjaya memperkemaskan permainan dan merapatkan kedudukan 17-10, namun ia dianggap sudah terlambat apabila Aaron-Wooi Yik berada dalam keadaan cukup selesa sebelum memastikan kemenangan muktamad.
“Bagi saya, kedua-dua beregu sudah menampilkan aksi cukup baik pada perlawanan hari ini (kelmarin) tetapi saya fikir permainan kami di set ketiga agak perlahan ketika 11 mata pertama dan semangat ada turun sedikit.
“Selain itu, mereka juga seolah-olah sudah tahu corak permainan kami dan sukar untuk kami mengejar bagi merapatkan kedudukan. Kami banyak kehilangan mata di situ,” kata Wei Chong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan ketiga Wei Chong-Kai Wun kepada Aaron-Wooi Yik dalam lapan perlawanan dengan pertemuan terakhir mereka pada Terbuka China tahun lalu turut memihak kepada bekas juara dunia itu.
Sementara itu, Wei Chong turut menjelaskan, kecederaan lutut dialaminya sudah semakin baik biarpun sebelum ini dia mengakui sedia untuk mengambil risiko bagi memastikan mereka dapat beraksi di All England.
“Saya fikir ia (kecederaan) sudah semakin baik jika dibandingkan dengan minggu lalu, mungkin kerana tidak banyak melakukan latihan penuh. Minggu ini, saya tampilkan aksi terbaik tetapi harap ia akan pulih segera,” ujarnya.














