KEDUDUKAN skuad hoki lelaki kebangsaan pada saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Belgium dan Belanda Ogos depan sudah terjamin berdasarkan kedudukan semasa ranking dunia Malaysia ketika ini.
Biarpun beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, namun disebabkan satu lagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat menemukan Wales dan Poland, justeru satu slot ke Piala Dunia sudah menjadi milik Speedy Tigers.
Berdasarkan kedudukan ranking ketika ini, Malaysia menghuni ranking ke-14 dunia, mengatasi Wales yang berada satu anak tangga di belakang serta Poland (No.20), sekali gus berjaya mengesahkan tempat.
Situasi itu boleh dianggap sebagai rahmat buat pasukan negara apabila tidak dapat memastikan kemaraan lebih awal selepas gagal melangkah ke perlawanan akhir dalam aksi kelayakan yang berlangsung di Mesir.
Menerusi perkembangan tersebut, Speedy Tigers bakal melakukan penampilan ke-10 pada kejohanan berprestij itu dengan pencapaian terbaik adalah menamatkan saingan di tempat keempat ketika edisi 1975 di Kuala Lumpur.
Pada edisi terakhir yang berlangsung di India tiga tahun lalu, Malaysia terpaksa berpuas hati apabila sekadar menamatkan saingan sebagai pasukan ke-13 terbaik dengan gelaran juara menjadi milik Jerman.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan negara, Sarjit Singh akan terus mengemudi Speedy Tigers melakar pencapaian lebih baik pada saingan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 30 Ogos depan.
Pada Jun tahun lalu, beliau menyuarakan kesediaan untuk melepaskan jawatan yang disandang seandainya gagal membantu pasukan negara melayakkan diri ke kejohanan paling berprestij itu.














