PETALING JAYA – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar antara pemimpin UMNO yang akan kembali memperkukuhkan parti itu dalam masa terdekat.
Perkara itu dikongsi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, kepulangan pemimpin tersebut adalah hadiah bermakna sempena Hari Nuzul Al-Quran hari ini.
“Berita gembira buat saya di malam Nuzul Al-Quran : KJ umum hasrat kembali ke UMNO. Almarhum pasti gembira,”tulisnya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin menerusi podcast Keluar Sekejap telah mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar membuat draf surat permohonan bagi tujuan berkenaan.
“Bolehlah Bobby (Raja Syahrir) mula draf surat (permohonan menyertai Rumah Bangsa), saya hendak tengok draf surat berkenaan,” katanya.
Hasrat itu adalah sebagai tindak balas terhadap kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum membuka pintu Rumah Bangsa kepada mana-mana bekas ahli dipecat atau digantung keanggotaan untuk kembali menyertai UMNO.
Sebagai makluman, Khairy Jamaluddin antara lima pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung pada tahun 2023 bersama Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian selama enam tahun, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.-KOSMO! ONLINE














